Friday 6 January 2012

Sebahagian daripada Permasalahan Besar..


Masalah utama bagi segala permasalahan..

Sebahagian besar dalam kalangan umat Islam sedang mabuk dan dipesongkan daripada identiti mereka sendiri. Umat ini lupa tentang hakikat risalah Islam, sedangkan ianya masih tercari-cari apakah sebab kewujudannya dan apakah pula tujuan keberadaannya di dunia. Ia tidak mengetahui siapakah mysyh dan siapa pula temannya. Ia tidak mampu melihat jerat-jerat yang telah dirancang untuk memerangkapnya di dalam kegelapan, serta racun-racun yang telah dibancuh untuk menyakitinya di sebalik minyak dan manisan hidup yang zahir. Ia tidak nampak apa yang sedang dihunus ke arahnya; beliung-beliung pemikiran yang tajam, yang bakal meruntuhkan. Semuanya digambarkan di dalam bentuk yang cukup menarik dan bercahaya, berselindung di sebalik slogan-slogan yang cukup menipu daya. Ia menamakan kufur itu kebebasan, kefasikan itu sebagai satu seni, dan kerosakan itu sebagai kemajuan. Ia membentuk prasangka bahawa ketumbuhan adalah daging dan fatamorgana adalah air yang sebenarnya!!

Satu permasalahan - bahkan berbagai-bagai masalah lagi - yang sedang menghantui umat adalah jurang persaudaraan yang begitu lebar, yang dirasai dan disaksi dalam kalangan orang Islam, antara satu sama lain. Ianya berpunca daripada assabiah perkauman, iklim, bahasa, anasir-anasir luar yang diikuti dengan sistem-sistem berbeza. Akhirnya mereka berpecah daripada jalan Allah..... Dan juga kerana sikap individualistik para pemimpin yang lebih mengutamakan hawa nafsu daripada kebenaran, mendahulukan keuntungan segera daripada keredhaan Allah taala, melebihkan kepentingan peribadi ataupun setempat di atas kemaslahatan umat yang terbesar.

kemudian, di sana masih terdapat jurang yang boleh kita rasakan di dalam setiap negara antara para pemerintah dengan rakyatnya. Rakyat secara fitrah, sejarah dan realitinya sentiasa bersama Islam. Pemimpin pula, berdasarkan latar belakang, pendidikan, kepentingan, dan kesetiaannya adalah terikat dengan puak-puak yang bermusuhan dengan Islam. Oleh kerana itulah mereka - kalaupun mereka tidak membenci Islam - mereka amat takut kepada kembalinya hukum Islam. Mereka risau ajaran-ajaran Islam akan kembali berkuasa da memimpin. Justeru, mereka memilih untuk kekal di satu lembah, sedangkan rakyat mereka berada di lembah yang lain. Seolah-olah mereka adalah dua garisan selari yang tidak pernah bertemu!

Selain itu, wujud juga jurang di antara golongan elit yang berpelajaran dengan orang ramai. Orang ramai secara jumlahnya mempunyai fikrah Islam, memiliki sensiviti agama yang kuat terhadap Islam, dan berakhlak dengan akhlak Islam. Adapun golongan elit - yang dimaksudkan adalah sebahagian besar, bukan semua - mereka telah diserangi oleh penjajahan pendidikan yang telah menghalau fikrah dan sensiviti Islam mereka daripada asas kehidupan mereka. Ketua-ketua mereka dikelilingi fahaman-fahaman salah tentang Islam, syariatnya, sejarahnya serta umatnya. Ia mula beriman kepada sekularisme (athiesma) baik dari segi pemikiran mahupun cara hidup. Mereka menganggap agama hanyalah sekadar satu hubungan di antara seseorang dengan Tuhannya. Maka mereka tidak membenarkan agam untuk memimpin kehidupan mahupun campur tangan di dalam masyarakat melalui undang-undang, penguasaan, ataupun perlaksanaan. Sekiranya ianya dibenarkan, maka cukuplah baginya masjid untuk solat dan juga nasihat. Memadailah satu mata pelajaran wajib agama di sekolahm cakap-cakap agama di dalam radio atau televisyen, satu kolum agama di dalam lembaran akhbar... Bahkan untuk itu, merekalah yang menjadi penderma dan mecanangkan bahawa mereka telah memperjuangkan agam! Adapun untuk menjadikan Islam sebagai satu sistem kehidupan, atau perlembagaan sebuah negara, nescaya sekali-kali tidak!

**Dipetik dari sebuah buku yang bertajuk " Pemuda Islam Yang Dijanjikan", Prof. Dr. Yusuf Al Qaradhawi.




No comments:

Post a Comment